Tuesday, August 18, 2009

Ramadhanku yang terakhir



Setiap kali datangnya Ramadhan, terdetik dalam hati ini, adakah ini Ramadhan ku yang terakhir.
Ya Allah jika benarlah sangkaanku kali ini, aku berhajat & bemohon kepada Mu Ya Allah, bukakanlah pintu hati ku dengan seluas-luasnya untuk aku memperbanyakkan amal soleh, basahkan lidah ini dengan zikrullah, tadarus & tadabur, ringankanlah tubuh badanku ini untuk bangun bertahajud & bertaubat pada Mu pada setiap malam, jangan diri ini dilalaikan dengan kemeriahan pesta makanan, pesta membeli belah dan lain-lain kemeriahan yang boleh memesongkan hati ini dari hakikat sebenarnya Ramadhan.
Ya Allah..Terimalah taubatku & terimalah amalan ku ini sebagai amalan yang terbaik di sisi Mu agar dapat aku menjadikannya bekalan apabila berhadapan dengan Mu nanti.
Ya Allah. aku mengharapkan rahmatMu, aku rindukan SyurgaMu….Ya Allah

Ramadhan yang ku nanti


Ramadhan tiba lagi. Umat Islam yang taat tidak sabar-sabar menanti ketibaanya. Mereka juga akan berasa sedih apabila Ramadhan pergi. Yang ingkar, pasti tidak seronok untuk meniggalkan rutin harian seperti berada di warung untuk secawan kopi dan roti canai.

Pada bulan ini umat Islam akan menahan diri dari makan, minum dan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa pada siang hari. Di sebelah malam, solat terawih menjadi amalan. Apa yang ingin ditekankan ialah mengenai puasa itu sendiri. Nabi Muhammad SAW pernah menegur orang yang berpuasa. Ada yang berpuasa tetapi tidak lebih sekadar menahan lapar dan dahaga.

Puasa, menurut definisi para fuqaha’, adalah "menahan diri daripada segala yang merosak dengan maksud mendekatkan diri kepada Allah". Hakikat puasa terletak pada menahan diri dan berpegang teguh kepada perintah Allah dan Rasul-Nya.

Anda dapat menahan diri daripada makan dan minum, kerana ingin melangsingkan badan, anda dikatakan tidak berpuasa kerana anda tidak bermaksud untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Imam Al-Ghazali di dalam Ihya' Ulumiddin menyebut, enam cara untuk menahan diri pada waktu puasa.

Pertama, menahan pandangan dan tidak mendorongnya pada perkara-perkara yang dicela dan dibenci. Atau pada halhal yang menyibukkan hati sehingga lupa kepada Allah. Sabda Nabi Muhamad SAW: “Pandangan itu merupakan anak panah Iblis. Siapa yang menahan pandangannya kerana takut kepada Allah, ia akan bertemu dengan manisnya iman di dalam hatinya.”

Kedua, menjaga lidah daripada ucapan yang sia-sia, seperti berbohong, mengumpat, memfitnah, bertengkar; dan biasakanlah dengan berdiam diri atau menyibukkan lidah dan hati dengan zikrullah.

Ketiga, menahan pendengaran daripada hal-hal yang dibenci oleh agama. "Setiap yang haram untuk dikatakan, juga haram untuk didengar," kata Imam Al-Ghazali.

Keempat, menahan seluruh anggota tubuh yang lain daripada berbuat dosa. Perut daripada makanan yang haram, tangan daripada menganiaya orang lain atau mengambil harta yang bukan hak, dan kaki daripada menginjak-injak hak orang lain.

Kelima, menahan diri untuk tidak makan berlebih-lebihan, walaupun dengan makanan yang halal.

Keenam, sesudah berbuka, hendaklah hatinya selalu berada di antara cemas dan harap. Dia tidak boleh terlalu takut puasanya-nya tidak diterima oleh Allah, dan tidak juga terlalu yakin bahawa puasanya sudah sempurna.

Bila enam hal yang disarankan oleh Al-Ghazali ini diamalkan bukan sahaja pada bulan puasa, kita akan menemukan taqwa dalam realitinya dan puasa kita nanti tidak lagi sebagai budaya tahunan untuk bermalas-malas dalam aktiviti hidup.

Rasulullah SAW memberi jaminan kepada orang yang benar-benar menghayati erti puasa dengan sabdanya:
“Barangsiapa berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keinsafan, nescaya Allah SWT akan mengampunkan dosanya termasuk yang akan datang.”

“Allah lebih mengetahui”