Monday, June 15, 2009

Ayat-Ayat Cinta



Ayat-Ayat Cinta

Mungkin kita biasa dengar atau sudah memiliki dan membaca novel Indonesia karya Bapak Habiburrahman bertajuk ayat-ayat cinta.Ianya sebuah novel mengisarkan Fakri seorang remaja Indonesia, penuntut Universiti Al Azhar, Mesir menghadapi cabaran & pergolakan cinta dan konflik hidup yang berlandaskan syariat. Novel ini menjadi Best Seller dan telahpun difilemkan dan mendapat sambutan yang cukup hangat bukan sahaja di Indonesia malah asia tenggara. Sementara lagu-lagunya menjadi siulan dan bermain di bibir-bibir anak-anak kita dan menjadi lagu pilihan yang dikumandangkan oleh anak-anak sekolah dalam persembahan Hari Guru.


Ayat-Ayat Cinta di Surau Al Furqan
Alhamdullilah pada tanggal 27hb Dec 2008, Al Fadhil Ustaz Sabri Hanif dalam kuliah suboh yang disampaikan di Surau Al Furqan, Taman Seri Indah telah membaca
Surah Ali Imran ayat 31, Fiirman Allah yang bermaksud : “Katakanlah : Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutlah aku(Muhammad), nescaya Allah mencintai mu dan mengampuni dosa-dosa mu’ dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” .

INILAH SEBENARNYA AYAT-AYAT CINTA YANG PALING HEBAT, PALING INDAH & PALIING AGONG

Merujuk kepada Tafsir Al-Azhar karangan Prof Dr Hamka, ayat ini hendaklah dihubungkaitkan dengan penghujung ayat 30 surah Ali Imran yang bermaksud “……Dan Allah amatlah sayang kepada hamba-hambaNYA”. Ditafsirkan bahawa Allah amat sayang, amat kasih kepada hamba-hambaNYA, sehinggakan orang yang pernah berbuat salah, berdosa & bermaksiat pun bisa diampunkan apabila mereka memohon taubat dari Allah. Punya kasih dan sayangnya Allah kepada hambaNYA, sehinggakan Allah selalu bersedia menerima kedatangan hamba-hambaNYA yang ingin bertaubat. Tidak terkesan ka hati-hati kita? Bagi mereka yang ada iman di hati akan timbul rasa cinta, kasih, rindu dendam kepada Allah dan terasalah pula keinginan membalas cinta itu. Tapi mungkin hati ini samar-samar, mengharapkan bertepuk tidak sebelah tangan. Dalam suasana yang demikian datanglah ayat 31 di atas dan dirumuskan ayat ini.

“Jika sungguh-sungguh engkau cinta kepadaKu, maka jalan buat menemuiKu mudah sahaja, telah Aku utuskan RasulKu kepada mu, dialah petunjuk jalan menuju Aku. Hai utusanKu! Sampaikanlah pesanKu itu kepada seluruh hambaKu yang rindu, asyik dan cinta kepadaKu. Bentuklah sebuah rombongan dari sekelian orang yang bercinta dan engkau menjadi kepala rombongan itu. Katakanlah kepada mereka wahai RasulKu, cinta mereka Aku balas, bertepuk tidak sebelah tangan”.

Subhanallah! tidak ada “ayat-ayat cinta” seindah ini, sehebat ini dan seasyik ini, tidakkah kita teringin menjadi kekasihNYA, tidakkah teringin di hati kita untuk menempatkan diri kita dalam rombongan Rasullulah itu dan beruntung & berbahagialah mereka yang berada bersama-sama rombongan ini.

Tanda cinta kepada Allah, cinta pada Al Quran (kalam Allah), tanda cinta pada Al Quran, cintakan Rasullulah (Al Quran disampaikan melalui Rasullulah), tanda cintakan Rasullulah, bersamalah dalam rombongannya. Ada yang cinta pada Rasullulah, tapi tidak mengikutnya, contohnya bapa saudara Nabi , Abu Talib. Ada yang ikut Rasullulah, tapi tak cinta padanya, contohnya golongan munafik seprti Abdullah bin Ubai. Macamana dengan kita?

Akhir bicara, jika kita cintakan Allah, banyakkan zikir, jika kita cintakan Rasullulah, banyakan selawat dan jika kita cintakan diri kita, banyakan beristighfar.


Wallahua’lam


Apa itu Istidraj

Apakah dia istidraj itu?

Ianya adalah pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhaiNya. Inilah yang dinamakan istidraj.

Rasullulah s. a.w. bersabda :"Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat (durhaka),ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT." (Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi)

Tetapi, manusia yang durhaka dan sering berbuat maksiat yang terkeliru dengan pemikirannya merasakan bahawa nikmat yang telah datang kepadanya adalah kerana Allah berserta dan kasih dengan perbuatan maksiat mereka.

Masih ada juga orang ragu-ragu, kerana kalau kita hendak dapat kebahagian didunia dan akhirat kita mesti ikut jejak langkah Rasullulah saw dan berpegang teguh pada agama Islam.

Tetapi bagaimana dengan ada orang yang sembahyang 5 waktu sehari semalam, bangun tengah malam bertahajjud, puasa bukan di bulan Ramadhan sahaja, bahkan Isnin, Khamis dan puasa sunat yang lain. Tapi, hidup mereka biasa sahaja. Ada yang susah juga. Kenapa? Dan bagaimana pula orang yang seumur hidup tak sembahyang, puasa pun tak pernah, rumahnya tersergam indah, kereta mewah menjalar, duit banyak, dia boleh hidup kaya dan mewah.

Manusia istidraj - Manusia yang lupa daratan. Walaupun berbuat maksiat, dia merasa Allah menyayanginya. Mereka memandang hina kepada orang yang beramal. "Dia tu siang malam ke masjid, basikal pun tak mampu beli, sedangkan aku ke kelab malam pun dengan kereta mewah. Tak payah beribadatpun, rezeki datang mencurah-curah. Kalau dia tu sikit ibadat tentu boleh kaya macam aku, katanya sombong." Sebenarnya, kadang-kadang Allah memberikan nikmat yang banyak dengan tujuan untuk menghancurkannya.

Rasullulah s.a.w bersabda: "Apabila Allah menghendaki untuk membinasakan semut, Allah terbangkan semua itu dengan dua sayapnya" (Kitab Nasaibul æIbad) Anai-anai, jika tidak bersayap, maka dia akan duduk diam di bawah batu atau merayap di celah-celah daun, tetapi jika Allah hendak membinasakannya, Allah berikan dia sayap. Lalu, bila sudah bersayap, anai-anai pun menjadi kelkatu. Kelkatu, bila mendapat nikmat(sayap), dia akan cuba melawan api. Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat, cuba hendak melawan Allah swt.
Buktinya, Firaun. Nikmatnya tak terkira, tidak pernah sakit, bersin pun tidak pernah kerana Allah berikannya nikmat kesihatan. Orang lain selalu sakit, tapi Firaun tidak, orang lain mati, namun dia masih belum mati-mati juga, sampai rasa angkuh dan besar diri lantas mengaku dirinya tuhan. Tapi dengan nikmat itulah Allah binasakan dia.

Namrud, yang cuba membakar Nabi Ibrahim. Betapa besar pangkat Namrud? Dia begitu sombong dengan Allah, akhirnya menemui ajalnya hanya disebabkan seekor nyamuk masuk ke dalam lubang hidungnya.

Tidak ada manusia hari ini sekaya Qarun. Anak kunci gudang hartanya sahaja kena dibawa oleh 40 ekor unta. Akhirnya dia ditenggelamkan bersama-sama hartanya sekali akibat terlalu takbur. Jadi kalau kita kaya, jangan sangka Allah sayang, Qarun lagi kaya, akhirnya binasa juga.

Jadi, jika kita kaji dan fikir betul-betul, maka terjawablah segala keraguan yang mengganggu fikiran kita. Mengapa orang kafir kaya, dan orang yang berbuat maksiat hidup senang /mewah.

Pemberian yang diberikan oleh Allah pada mereka bukanlah yang diredhaiNya. Rupa-rupanya ianya adalah bertujuan untuk menghancurkannya. Untuk apa hidup ini tanpa keredhaanNya?
Tetapi jangan pula ada orang kaya beribadat, masuk masjid dengan kereta mewah kita katakan itu istidraj. Orang naik pangkat, istidraj. Orang-orang besar, istidraj. Jangan! Orang yang mengunakan nikmatnya untuk kebajikan untuk mengabdi kepada Allah bukan istidraj. Dan jangan pula kita tidak mahu kekayaan. Kalau hendak selamat, hidup kita mesti ada pegangan. Bukan kaya yang kita cari, juga bukan miskin yang kita cari. Tujuan hidup kita adalah mencari keredaan Allah. Bagaimana cara untuk menentukan nikmat yang diredhai Allah? Seseorang itu dapat menyedari hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang diterimanya itu ialah apabila dia bersyukur nikmatnya.

Dia akan mengunakan pemberian ke jalan kebaikan dan sentiasa redha dan ikhlas mengabdikan diri kepada Allah. Maka segala limpah kurnia yang iperolehi itu adalah nikmat pemberian yang diredhai Allah. Bila tujuan hidup kita untuk mencari keredhaan Allah, niscaya selamatlah kita di dunia dan akhirat.
Wallahualam.