Wednesday, July 8, 2009

Di mana kita meletakan Allah


“Maha suci Allah, Segala Pujian hanya pada Allah, Allah Maha Besar dan Tiada Tuhan Selain Allah” Inilah zikir-zikir dan ucapan-ucapan yang bermain dibibir kita setiap hari.

Jesteru itu kitapun meletakkan Allah di atas sekali berbanding dengan harta kekayaan yang kita usahakan, berbanding dengan perniagaan yang kita bimbang akan rugi, berbanding dengan rumah-rumah mewah & cantik yang kita duduki, berbanding dengan kereta yang baru dibeli, berbanding dengan isteri yang disayangi dan anak-anak yang dikasihi.

Kemudian kita diuji oleh Allah, ketika azan suboh berkumandang,kita liat untuk segera bangun mengambil wuduk, kita tengelam dalam kehangatan selimut, keempukan tilam dan kedinginan penghawa dingin. Dimana kita meletakkan Allah?

Ketika azan maghrib berkumandang, kita terasa enggan beranjak dari depan televisyen. Kita utamakan pengakhiran jalan cerita di TV yang sedang kita tontoni dari segera bersolat. Di mana kita meletakkan Allah?

Sudahlah kita tidak mengutamakan Allah, bahkan tanpa sedar, kita telah mengajar kepada keluarga kita (anak & isteri) agar sama-sama tidak menempatkan Allah pada kedudukan teratas.

Setiap malam kita suruh anak-anak segera tidur agar esok tidak lambat ke sekolah, bukan kerana terlambat bangun solat suboh. Kita ajar anak-anak menabung, tetapi kita tidak ajar mereka bersedekah.

Ketika isteri lambat memasak, kita berasa nak marah, sedangkan kalau isteri lambat solat, kita tak berasa apapun. Kita rasa cemas jika bil letrik dan air terlupa dibayar, tapi jiwa kita tak berasa heranpun kalau zakat pendapatan belum dibayar.

Bayangkanlah sekiranya pada suatu hari rumah kita dikunjungi oleh seorang lelaki yang juga rakan sepejabat isteri kita. Kita & isteri menjemput beliau masuk, menjamu dan melayan dengan baik. Walau bagaimanapun, sepanjang perbualan, kita dapati tumpuan beliau hanya kepada isteri kita dan tidak memperdulikan kita yang ada bersama. Kita yang jadi ketua rumah ini dibuat macam tak wujud, apa agaknya perasaan kita?.

Begitu juga dengan hubungan kita dengan Allah. Bumi dan sekelian alam ini adalah milik Allah, dan kita pula diberi izin dan peluang untuk tinggal dan menikmati apa yang ada di bumi dan alam ini. Patutkah kita buat sesuka hati tanpa memperdulikan Pemiliknya? Kalau tetamu tadi berbuat suka hati dan tidak memperdulikan kita sebagai ketua rumah, kita berasa sangat marah, tapi kita tak berasa bersalahpun bila melakukan perkara yang sama kepada Allah.

Lambat laun, tanpa kita sedari akan muncul tuhan-tuhan baru di rumah kita. Tanpa kita sedari juga, kita telah meletakan Allah di tempat kedua, ketiga, keempat dan seterusnya lalu kita tidak lagi mendengar seruan-Nya. Kita mungkin tidak terlintas untuk memperlakukan sedemikian kepada Allah, tapi kita telahpun melakukannya tanpa kita sedari. Sebagai peringatan untuk diri saya & keluarga saya dan peringatan juga kepada para sahabat, hayatilah dan laksanakan perintah Allah ini. Allah berfirman yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri-diri kamu dan keluarga-keluarga kamu dari api neraka, yang alat penyalanya ialah manusia dan batu, yang atasnya ialah malaikat-malaikat yang kasar lagi keras sikap, tidak mendurkai Allah pada apa yang diperintahkan kepada mereka dan mereka kerjakan apa yang disuruh” Surah At Tahrim :6

Wallahua’lam